Dinasti Han: Zaman kemakmuran Sejarah_China

Rencana utama: Dinasti Han

Dinasti Han muncul pada tahun 202 SM dan merupakan dinasti pertama untuk memeluk falsafah Konfusianisme yang kemudian menjadi asas ideologi kepada semua rejim sehingga keakhiran empayar China. Di bawah Dinasti Han, China mencapai kemajuan yang ketara dalam banyak bidang seni dan sains. Maharaja Wu (Han Wudi) mengukuhkan dan memperluas empayar China dengan mengundurkan puak Xiongnu (kekadang digolongkan dengan kaum Hun) masuk ke dalam steppe Mongolia Dalam masa kini, dan merampas kawasan-kawasan Gansu, Ningxia, dan Qinghai masa kini. Ini membolehkan pembukaan buat pertama kali hubungan-hubungan perdagangan antara China dengan Dunia Barat melalui Laluan Sutera.

Bagaimanapun, pemerolehan tanah-tanah oleh keluarga-keluarga elit beransur-ansur menyusutkan sumber cukai. Pada tahun 9 Masihi, perampas Wang Mang mengasaskan Dinasti Xin yang tidak dapat kekal lama dan memulakan rancangan-rancangan reformasi tanah yang meluas serta pembaharuan-pembaharuan eknonomi yang lain. Bagaimanapun, rancangan-rancangannya tidak pernah disokong oleh keluarga-keluarga pemilik tanah kerana perubahan-perubahan tersebut memihak kepada golongan petani dan ningrat yang bertaraf rendah. Ketakstabilan yang diakibatkannya akhirnya mencetuskan keadaan kelam-kabut dan pemberontakan.

Maharaja Guangwu kemudian memulihkan Dinasti Han di Luoyang yang terletak di timur Xi'an, dengan bantuan keluarga-keluarga pemilik tanah dan pedagang. Zaman baru itu diistilahkan sebagai Dinasti Han Timur. Bagaimanapun, kuasa Han merosot di tengah-tengah pemerolehan tanah, serangan, dan pertikaian antara puak-puak gundik dengan para sida-sida. Pemberontakan Serban Kuning tercetus pada tahun 184 dan memulakan zaman hulubalang. Dalam kerusuhan yang menyusul, tiga buah negeri cuba mencapai kekuasaan dalam apa yang dipanggil zaman Tiga Kemaharajaan. Zaman itu telah diolah secara romantik dalam karya-karya Cina seperti Kisah Tiga Kemaharajaan.